Saturday, May 26, 2012

PETA PEMIKIRAN ASTORA JABAT DALAM ISU 'AURAT

Mohd. Asri b. Zainul Abidin
(UIA-0194121314/ [EMAIL PROTECTED])

Bagi sebahagian muslimin yang tidak begitu biasa dengan istilah-istilah dan
kitab-kitab para ulama dan tokoh cendiakawan Islam, mungkin merasa hebat apabila
mendengar atau membaca seseorang menggunakannya dalam ucapan dan tulisannya.
Dengan kekaguman itu mereka seolah terpukau sehingga tidak dapat menilai sejauh
manakah kebenaran fakta yang dibawa. Demikian halnya sebahagian yang membaca
tulisan-tulisan Astora Jabat. Dengan menyebut beberapa tulisan Arab dan
mempermudahkan dalam menyandarkan sesebuah pendapat kepada sesuatu mazhab, tanpa
membuat semakan detail ketepatannya, maka Astora cuba mempengaruhi sesiapa yang
boleh dipengaruhinya.

Tulisan ini adalah siri awal yang cuba mengajak umat Islam di negara melihat di
manakah letak pemikiran Astora Jabat
dalam kerangka pemikiran modern. Pada peringkat ini saya hanya bercadang untuk
melihat secara umum kedudukan
aliran pemikiran Astora. Terlebih dahulu, saya juga ingin pembaca memahami
bahawa saya tidak berniat jahat atau
berhasad dengannya. Saya hanya mengenali beliau dari cara dan gaya serta aliran
yang diambil dalam tulisannya.

Sebenarnya, segala yang cuba dicanang dan ditonjolkan oleh Astora bukan perkara
baru dalam sejarah serangan atau
pandangan pemikiran Barat terhadap Islam dan umatnya. Bagi saya Astora tidak
lebih hanya menceduk tulisan beberapa
buku dan tokoh serta nota kaki mereka kemudian mengemukakan kepada umat Islam di
Malaysia seolah-oleh itu adalah
kajian beliau.

Saya juga percaya bahawa senarai kitab-kitab atau pandangan-pandangan mazhab
yang disebut oleh Astora, kebanyakan
beliau sendiri tidak pernah merujuk dan menyemaknya sebaliknya hanyalah sekadar
menceduk apa yang disebut oleh
penulis yang lain Kaedah ini sebenar melanggar disiplin ilmiah dunia akademik.
Cara ini hanya dilakukan oleh seseorang
yang tidak mementingkan ketulenan fakta. Dia lupa bahawa pandangan-pandangan
yang berikan oleh setiap tokoh diukur
ketepatannya dengan al-Quran dan as-Sunnah ath-Thabitah bukan sekadar
memungutnya. Sejak sekian zaman umat
Islam yang memegang aliran Ahli as-Sunnah wa al-Jama`ah bersepakat tanpa khilaf
bahawa segala perselisahan
rujukannya ialah al-Quran dan as-Sunnah. Nas-nas dalam hal ini sangat banyak
yang tidak perlu diulangi. Pandangan
setiap individu ditimbang dengan timbangan ini.

Sebagai contoh cuba lihat sikap Astora terhadap aurat wanita yang disiarkan pada
17 Oktober 1999 dalam Utusan
Malaysia. Beliau cuba membawa suatu pandangan yang menganggap rambut wanita
bukanlah `aurat dan menutup kepala
itu sebenarnya menutup akal. Pandangan ini sebanar tidak lebih hanya petikan
pandangan dua orang tokoh Mesir yang
mendewakan kehidupan Barat iaitu Al-`Ashmawi dan `Abd al-`Azim Ramadhan.
Keduanya menganggap kepala wanita
bukanlah `aurat dan menutup kepala itu sebenarnya menutup akal. Pandangan mereka
yang batil itu telah dijawab oleh
Mufti Mesir Muhammad `Ali at-Tantawi dan tokoh mufassir Mesir, as-Syeikh
Muhammad Mutawalli asy-Sya'rawi r.h.
Sesiapa yang inginkan pendetilannya boleh rujuk buku "al-Gharah `ala al-Hijab".
Buku tersebut menyebut hujah-hujah
kedua lelaki berkenaan serta jawapan at-Tantawi dan al-Mutawaali asy-Sya'rawi
terhadap mereka.

Perjuangan menentang hijab berlaku sejak dahulu lagi. Kononnya hijab adalah
punca kemunduran dunia Islam. Mereka
lupa bahawa punca kemunduran sebenar kerana kita meninggalkan agama yang tulen
dan membiarkan kepalsuan, bid`ah
serta kemungkaran hidup dalam masyarakat. Mereka ini akan cuba mengulas nas agar
menepati selera dan kehendak
mereka. Marqus Fahmi dalam tulisannya al-Marah fi asy-Syarq juga mempertikaikan
hijab. Ini telah dijawab oleh
tokoh-tokoh Islam semasa termasuk Anwar al-Jundi.

Persoalan aurat sudah banyak dibahaskan. Setiap pengkaji Islam boleh merujuk
kitab-kitab tafsir yang beralaskan
nas-nas syarak dalam menafsirkan Surah al-Ahzab 59 dan an-Nur 60. Para ulama
dalam ini, ada yang bertegas
menyatakan seluruh tubuh wanita adalah `aurat. Ini seperti yang dipegang oleh
kebanyakan ulama di Saudi sekarang.
Sesiapa yang ingin pendetilan bolehlah merujuk kepada kitab-kitab fatwa masyaikh
di Saudi antaranya buku al-Hijab
yang ditulis oleh as-Syeikh Soleh Fauzan. Sementara jumhur ulama pula menyatakan
muka dan tapak tangan tidak
termasuk dalam `aurat. Hujah-hujah yang kuat dalam masalah ini telah dijelaskan
as-Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam
bukunya Al-Niqab lil al-Mar ah baina al-Qaul bi bid`atih wa al-Qaul bi Ujubih.
Saya amat cenderung kepada
pendapat jumhur ini. Ada fuhaqa dari Mazhab Ahnaf (Hanafi) yang lebih longgar,
membenarkan pergelangan kaki dibuka.
Abd al-Karim Zaidan telah menghimpunkan perbincangan ini dalam tulisannya
al-Mufassal fi Ahkam al-Mar`ah. Saya
tidak bercadang untuk mendetilkan persoalan ini sebaliknya sekadar untuk
menjelaskan bahawa adalah lebih baik para
pembaca merujuk kepada para ilmuan dan cendiakawan Islam yang dipercayai
agamanya dari merujuk kepada sesiapa
sahaja yang diragui diri dan ilmunya.

Di samping itu saya mencabar Astora untuk mendetilkan alasannya yang menyatakan
kepala wanita tidak dikira `aurat.
Persoalannya, mengapakah isu tutup `aurat sering kali diserang ? Apakah
tujuannya?

Serangan ini muncul sejak lama lagi. Antara puncanya adalah tindakbalas umat
Islam terhadap perkembangan yang
berlaku di dunia Barat. Barat yang sebelumnya ketinggalan jauh di bandingkan
kemajuan yang pernah dicapai oleh umat
Islam kembali berjaya menguasai tamdun kebendaan dan cuba memunculkan diri
mereka sebagai simbol kejayaan
tamadun manusia moden. Ini sebenarnya hasil kecuaian umat Islam terutama
golongan agama dan pemerintah. Justeru itu
semua pandangan bangsa-bangsa tertumpu kepada Barat, termasuklah umat Islam.
Barat telah dianggap kononnya simbul
kepada gaya hidup zaman modern, juga kononnya mereka adalah pejuang hak dan
kebebasan manusia moden.

Dalam menghadapi cabaran ini dunia umat Islam yang tidak mahu dianggap
ketinggalan zaman maka munculnya tiga sikap
utama muncul dalam melihat kemajuan dunia Barat.

i.Di kalangan mereka ada yang menerima apa sahaja dari Barat dan menolak agama
serta tidak menghiraukan
langsung nas-nas agama. Ini seperti Taha Hussain di Mesir. Beliau menyeru agar
Mesir mencontohi dan
meninggalkan keislamannya untuk maju kehadapan. Katanya dalam bukunya Mustaqbal
ath-Thaqafah fi Misr,
"Jalan ke arah itu hanyalah satu..iaitu kita mesti mengikut jejak langkah
orang-orang Eropah dan cara mereka. Kita
mesti menjadi sekutu mereka dan rakan kongsi dalam ketamudunan, sama ada yang
baik atau yang buruk, sama
ada yang manis atau yang pahit, sama ada yang disukai atau yang dicercai".
Bahkan dalam beberapa tempat
beliau dengan jelas mengajak agar Mesir meniru Eropah sekalipun dalam beragama.
Bagi golongan ini, menutup
`aurat sudah pasti ditentang oleh mereka kerana ianya boleh membezakan kita
dengan Barat.

Ahmad Reda Bik yang merupakan penyeru agar ditumbangkan sistem pemerintahan
Islam di Turki menganggap
bahawa selagi lelaki dan wanita Turki tidak bercampur bebas dan membuka hijabnya
maka tiada kedaulatan
undang-undang dan kebebasan di Turki. (lihat: al-Ittijah al-Wataniah fi al-Adab
al-Mu`asir, jld 2, m.s. 273)
ii.Golongan yang kedua, mereka tidak menyatakan mereka menolak agama tetapi apa
yang mereka lakukan ialah
cuba menafsirkan nas-nas Islam agar sesuai dengan kehidupan moden di Barat. Apa
sahaja nas al-Quran atau
as-Sunnah yang menyanggahi Barat akan cuba ditakwil sedaya upaya agar dapat
disesuaikan dengan cara hidup di
Barat. Di zaman ini mereka dikenali dengan Islam ala Amarika. Bagi mereka
seolah-olah kehidupan Barat adalah
asas dan nas-nas mesti disesuaikan dengannya. Sedangkan dalam manhaj Islam
nas-nas al-Quran adalah asas dan
kehidupan mesti disesuaikan dengannya bukan sebaliknya. Ini seperti yang disebut
oleh al-Qaradawi dalam
al-Marji`iyyah al-`Ulya fi al-Islam, "Mereka menuntut agar Islam berubah tetapi
mereka tidak meminta agar
perubahan diislamkan".

Kalaulah sekiranya wanita Barat memakai purdah, percayalah mereka
sungguh-sungguh mempertahankan dalil
wajib memakai purdah. Kalau wanita Barat bertudung nescaya bersungguh-sungguh
mereka kumpulkan dalil wajib
bertudung kepala. Namun oleh kerana mereka melihat dunia Barat tidak menutup
`aurat seperti wanita Islam maka
segala nas agama cuba ditafsirkan agar bersesuai dengan keadaan tersebut. Lihat
apa kata seorang tokoh mereka,
Dr. `Imad `Abd al-Hamid an-Najar dalam Jaridah al-`Akhbar, "..adapun mengenai
hijab dan percampuran antara
wanita dan lelaki dalam kehidupan harian, ini adalah perkara yang boleh
ditentukan oleh sesebuah masyarakat
berdasarkan keadaannya. Bagi setiap masyarakat ada pakaian dan cara-cara yang
memudahkan individunya. Apa
yang disebut oleh al-Quran mengenai hijab adalah khusus untuk isteri-isteri
Rasulullah. Hukum-hakam ini bukan lah
semestinya berkaitan dengan seluruh wanita."

Ini adalah jelas, sama seperti Astora. Dewasa ini ianya dikenali sebagai aliran
Islam Amerika. Mereka ini tidak
menyatakan yang mereka inginkan tinggalkan agama tetapi mereka tafsirkan agama
seiras pandangan-pandangan
umum yang diterima oleh masyarakat Barat. Sedangkan, disiplin asas dalam
pengkajian nas hendaklah nas-nas
yang menentukan sesuatu keputusan bukan keputusan yang menentukan tafsiran nas.
Kata tokoh tafsir terkenal di
zaman ini, Dr. Solah al-Khalidi dalam buku Mafatih li at-Ta`amul ma`a al-Quran:
"Sesungguhnya sebahagian
manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki
alam al-Quran yang luas
dengan cara yang tidak betul. Di kalangan mereka ada yang membawa bersamanya
(dalam memasuki alam
al-Quran) himpunan ilmu pengetahuan, thaqafah, akhlaq, adat istiadat dan sikap
yang bertentangan dengan arahan
al-Quran, maka cahaya al-Quran terhalang darinya. Ada pula yang memasuki alam
al-Quran dengan suatu
pemikiran sebelumnya yang mengganggu fikirannya ketika dia melihat al-Quran maka
terhalanglah pandangannya,
lantas dia terjatuh dalam kekaburan dan kekeliruan. Ada pula yang mengambil
al-Quran dengan niat serta
latarbelakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehinya maka dia
menyelewengkan jalannya, memutar
belitkan, memaksa-maksa dalil dan nas dan memayah-mayahkan ulasan untuk
dijadikan alasan bagi dirinya.."

Dengan melalui kaedah yang salah ini, segala dalil akan ditafsirkan agar serasi
dengan kehendak yang diputuskan.
Inilah cara al-Quran diperalatkan. Sesiapa yang ingin penjelasan yang detil
dalam bab ini, dia boleh merujuk
kepada buku tulisan al-Khalidi di atas. Astora nampak begitu tekun meliti jalan
ini. Jalan yang memaksa al-Quran
dan as-Sunnah mengikut keputusan yang dibuat bukannya keputusan yang bakal
dibuat mengikut al-Quran.

iii.Golongan ketiga menapis apa yang ada di Barat dengan tapisan Islam. Kemajuan
diakui, bahkan kemajuan yang
dinikmati di Barat adalah cedukan dari kemajuan yang pernah wujud di dunia
Islam dahulu. Bukan semua yang
ada di Barat mesti ditolak. Namun bukan semua mesti diterima. Timbangannya ialah
tafsiran yang betul terhadap
nas-nas- al-Quran dan as-Sunnah. Islam adalah agama yang hidup dan sesuai untu
segala masa dan zaman.
Kaedah syara' juga menyatakan bahawa "tidak dinafi perubahan hukum dengan
perubahan zaman". Tetapi
hendaklah dibezakan bahawa di dalam ajaran Islam ada perkara yang tetap dan yang
boleh berubah. Inilah
golongan dan pendirian umat Islam yang lurus dengan agamanya. Adalah dicadangkan
kepada Astora Jabat
melaluinya.

Tujuan Astora Jabat

Saya melihat tujuan Astora menulis tidak lebih melainkan untuk kepentingan
golongan tertentu dalam negara ini. Terutama
golongan politik pemerintah. Tulisannya yang fakir dari perasaan takutkan Allah
dan sunyi dari penghormatan terhadap
tokoh-tokoh umat. Racun-racun yang Astora yang taburkan dalam tulisannya adalah
sama dengan racun-racun yang
pernah ditaburkan oleh golongan orientalis sejak dahulu. Saya seakan-akan dapat
memaafkan orientalis kerana mereka
memang tidak beragama dengan agama ini, bagaimana meraka akan menyokongnya.
Namun Astora Jabat menyatakan
dirinya muslim tetapi sering menggunakan racun yang sama. Ini sesuatu yang sukar
dimaafkan.

Dengan penuh kesedaran juga, saya katakan, masih ada perkara-perkara yang
berhajat kepada semakan di dalam ajaran
Islam yang diamalkan, terutama yang membabitkan persoalan ijtihad. Namun
hendaklah dibekalkan dalam jiwa pengkaji
perasaan takutkan Allah dalam memetik hukum-hakam, bukan tamakkan pangkat dan
harta. Pintu ijtihad terbuka dan
tiada siapa berhak menutupnya. Bagaimanapun bagi ijtihad itu ada syarat-syarat
yang tidak boleh diketepikan dengan
mudah.

No comments:

Post a Comment