Friday, April 13, 2012

Melayu

Mengingat kembali akan perbualan aku bersama seorang yang berasal dari Medan semalam, ia membuat aku berfikir..



(*terima kasih diatas pandangan yang diberikan Erfin itu, Insyallah, nanti abang akan datang melawat sana)

Kata beliau - Medan itu sendiri dipenuhi oleh pendatang, Melayu itu asalnya adalah orang original Medan, suku - suku lain di Medan, adalah pendatang. Penduduk Tanjung Balai dan Batu Bara contohnya adalah Melayu. Makanya, orang yang bernama Melayu itu terpinggir. Aku lalu bertanya, kenapa, katanya orang Melayu itu, suka jual tanah, makanya tanah itu dibeli pendatang. Hobi orang Melayu itu, duduk dikedai kopi. Pemerintah orang Melayu di Medan itu dulu, memberikan tanah kepada sukunya, makanya, orang Melayu tersebut, akan duduk beersenang-lenang, dan jual sedikit demi sedikit akan tanahnya, sampailah tercampak keluar dari tanah sendiri. Akhirnya mereka akan berumah menghampiri pantai...makanya, contoh seperti Tanjung Balai itu sendiri.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan akan orang Melayu dari Pekan Baru, katanya, orang Melayu Pekan Baru itu berjiwa usahawan. Makanya, mereka itu lebih rajin berusaha dari yang berada di Medan.

Aku tersenyum, lalu berfikir, ada beza ke dengan Melayu di sini?

Pada tempoh masa, kurang lebih, dua minggu aku berkenalan dengan seorang yang berwajah bukan Melayu, tetapi katanya, dia itu Melayu, berasal dari Palembang. Kerjanya di restoran di Malaysia, sempat menuntut di Universti Palembang, untuk pengajian Sastera Indonesia selama 4 bulan. Katanya, hanya setakat itu kemampuan kewangannya. Cita-citanya adalah untuk menuntut di Universiti Indonesia (yang aku akui, Ivy League). Semasa berbual dengannya, dengan takdir Ilahi, aku bertanya, apakah dia Melayu 1st atau Indonesia 1st. Katanya - Melayu 1st. Buat pertama kalinya dalam hidup aku, dan telah ke Indonesia beberapa kali, aku mendengar jawapan sedemikian. Aku bertanya didalam hati. Belia ini berlainan berbanding dengan yang lain-lainnya. Kenapa barangkali?

Pada masa orang Melayu di Malaysia diasak, untuk membuktikan samada lebih Malaysia atau Melayunya, aku merasa agak kagum dengan jawapan belia berkenaan. Katanya, benar, Pancasila, itu, memberikan hak samarata dan keberagamaan yang setara, tetapi suku orang yang menjadi warga itu sendiri, tidak boleh dan perlu dipisahkan atau dilupakan. Aku lalu teringat akan kata, seorang 'Tuan Guru', katanya kebangsaan itu, bukan jalan menuju syurga. Aku lalu bertanya kepada belia tersebut, apakah pemahamannya tentang kehidupan seorang berbangsa Melayu di Indonesia. Katanya - terpinggir.. (tapi keterpinggiran itu, tidak sama dengan perenggan pertama diatas). Keterpinggiran yang dimaksudkannya ialah, melebihkan suku kaum yang lain, dan bukannya Melayu...

Lalu aku terfikir - dimana pulak ruang untuk manusia berbangsa Melayu ini mempertahankan haknya. Kalau di Malaysia, desakan ialah untuk mengikisnya. Disana, kerana keberagaman yang setara, terdapatnya suku yang berjaya memegang monopoli walaupun tidak diatas kertas. Apakah nasibnya bererti akan terpinggir juga lalu, melukut ditepi gantang.

Pada masa yang sama, aku juga terkilan pada sesetengah orang Melayu di Malaysia sendiri, yang terlalu membanggakan asal keturunannya...tak kisahlah dia suku Minang ke, Acheh ke, Jawa ke...kalau dah dapat jadi Melayu Malaysia, bersyukurlah...itu aje...kerana ada seorang politik yang sememangnya berbangga akan keturunannya...sehinggakan, ingin sahaja aku berkata padanya - yang mengundi dirinya itu sehingga menjadi seorang Menteri, bukanlah orang suku kaumnya dari seberang, tapi rakyat Malaysia, disini...

Entahlah...orang dari Palembang, bangga mengaku dirinya Melayu...orang sini pula, tak sudah - sudah bangkitkan dirinya dari seberang sana...Agaknya...tersumpah atau disumpah bangsa yang bernama Melayu ini agaknya...

Sebagai orang Melayu, yang pernah menjadi pendatang diluar negara..aku merasa kecewa...Pulangnya aku ke tanahair, rupa-rupanya orang Melayu disini berantakan, gagal menjatidirikan untuk bersyukur menjadi Melayu (tak semua, tapi yang memahami maksudku, akan faham maksud aku itu). Mungkin Melayu yang berhijrah, dengan sifat tawaduk akan bersyukur datang dari tanah bertuah ini, yang asalnya dinamakan Tanah Melayu. Tiada apa dosanya menamakan Tanah ini sebagai Tanah Melayu, namun disebabkan sifat tolak ansur yang teramat, menyebabkan nama hanya tinggal nama, dan kini nama Tanah Melayu itupun, dah tak wujud lagi...

Ini tidak dikira lagi, akan pentakwilan cetek akan makna assabiyah...hingga gagal dilihat akan sempadan assabiyah dengan mempertahankan hak. Pada aku, orang yang bongkak akan dirinya contohnya, kelahiran 'berdarah putih', lebih assabiyah. Berbangga disebabkan kelahiran yang sememangnya ditakdirkan Ilahi. Kalau tidak bongkak, namun sekadar berbangga & berbahgia, aku rasa, dia berhak keatas kelebihan semulajadinya itu. Makanya itu tidak mengapa.

Teringat aku, pada suatu hari ditahun 90an, dimana aku bercakap didepan bekas MB, dan pada waktu tersebut, beliau merupakan orang penting DBP. Aku bertanya. Apakah boleh makna Melayu itu ditukar? Ramai yang ingat aku merepek, maklumlah, siapalah aku ini, dibandingkan dengan barisan hebat orang-orang politik pada waktu tersebut, aku cuma anak muda, yang mana hanya meneman ibunya dimajlis tersebut. Sebagai rakyat marhaen, soalan aku dianggap memalukan tuan rumah.

Sebab aku bertanyakan soalan tersebut - LAYU itu bererti, HAMPIR MATI, LAYU itu bererti TIADA KEKUATAN

Makanya, sekiranya MAKNA LAYU itu ditukar kepada = HEBAT, mungkin orang MELAYU itu menjadi HEBAT. Kenapa ? Sesungguhnya, Rasullullah pernah bersabda memberikan nama yang baik pada anak. Inikan pula, pada BANGSA. Inilah maksud aku, apakah tersumpah dan disumpah bangsa Melayu ini...

Pada waktu tersebut, VIP tersebut, menempelak, dan, sehingga ke hari ini, aku tahu, dia mengelak, dan tidak dapat memberi jawapan tersebut. Pada tahun 2004, semasa aku memberikan ceramah, sekali lagi, aku menyebutnya. Maka datanglah seorang hamba Allah, yang menyatakan, AKU SALAH. Dalilnya ialah

Mim Lam Alif (3 huruf pertama ejaan Melayu didalam Jawi). Mim = Muhammad, Lam Alif = Allah

Beliau gagal memahami apa yang aku maksudkan.

1. Aku tidak mempersoalkan ejaan tetapi makna. Makna, tetap tidak berubah. Memaksa makna mengikuti ejaan, adalah 'ridiculous'. Sewajarnya, makna itu ditelusuri dengan jelas, dan indah. Selepasnya, terserahlah bagaimana ejaan itu akan dibuat. Beliau ingin 'berilmiah', tetapi aku terpaksa bersikap realistik.

2. Didalam apa-apa sekalipun, Allah itu didahulukan. Makanya, ejaan yang bermula dengan Mim, sememangnya, bukan pada tempat nya. Sewajarnya bermula dengan Alif. Sepertimana kita yang biasa memberikan ceramah, kita akan menggunakan pakai 'Perjuangan Alif, Ba & Ta' yang bermaksud - Agama, Bangsa & Negara. Aksara Alif itu untuk Allah, dan juga Agama....


Sedih sekali lagi aku bila mendengar hujah beliau....Beliau gagal, megenal pasti akan kelemahan strategik, dan taktikal. Beliau juga gagal membezakan permasalahan strategik dan juga taktikal....

Semoga Allah merahmati beliau...




























No comments:

Post a Comment