Tuesday, April 12, 2011

Visa dalam Paspot

Semalam aku terbaca diakhbar The Star, tentang tiada keperluannya untuk visa pelancong buat rakyat Malaysia ini untuk ke UK. Bila sahaja membacanya, aku menarik nafas lega. Banyak kelegaannya bila tiada visa.

Antara negara yang aku pergi dan memerlukan visa ialah Russia, Amerika & Jepun, selain dari Arab Saudi.

Aku mohon visa Amerika, pada waktu tersebut aku masih lagi menetap di London. Sungguhpun aku di London, tapi aku tak lupa akan kesombongan pegawai visa Amerika. Masih terbayang akan aku, bagaimana mereka mengangkat kedua belah tangan, sambil mengeleng kepala dan berkata - "jangan tanya saya apa - apa, saya tidak perlu jawab soalan sesiapa, masukkan sahaja paspot dalam peti ini", itu kata-katanya kepada pasangan warga emas di UK. Aku dibelakang mereka, melihat akan sikap tersebut, aku terus pergi ke Post Office, dan beli envelop, terus aku masukkan paspot aku kat dalam envelop tu. Pergi semula ke US Embassy London, dan masukkan dalam peti tersebut.

Untuk itu aku puji Post Office UK. Aku terima paspot aku dalam peti surat (beserta dengan visanya sekali) selepas 3 hari. Tak terjadi kes kehilangan dokumen melalui pos biasa di England. Untuk itu, memang aku tabik UK Post Office.

Selain dari US, aku juga memerlukan visa untuk ke Jepun, dan permohonan tidak lah terlalu sukar (pada waktu tersebut), sekarang aku tak pasti, dah lama tak ke Jepun.

Russia adalah negara yang selalu aku kunjungi. Syukur, setakat ini, aku tiada masalah mendapatkan visa untuk ke Russia. Makanya, ia memudahkan hidup aku. Bila mohon visa last minute pun tetap boleh dapat. Masalahnya ialah slip kertas yang perlu disimpan bersama dengan visa Russia. Ini yang jadi kerisauan takut rosak atau terkena air. Kertas itu sama pentingnya dengan paspot. Hilang kertas tu, silap-silap tak boleh keluar dari Russia.

Negara-negara lain seperti Jerman, France, Sweden dan lain-lainnya tak memerlukan visa. Sebab tu aku cukup seronok pergi sana kerana tiada visa.

Kerisauan aku
Kerajaan British kata, 'ketiadaan visa ini' belum dimuktamadkan. Aku rasa, teramat leceh kalau diperlukan visa, selain akan memerlukan belanja lebih. Visa akan membuat kita tertanya-tanya samada kita boleh atau tidak pergi kenegara tersebut. Ada paspot tapi tiada visa, baik simpan aje paspot tu.

Erti Visa pada aku
Bila Visa tidak diperlukan, ertinya, Negara tersebut dihormati Kedaulatannya, Rakyat Negara tersebut dihormati sebagai individu bermaruah. Bila Visa dikenakan, ertinya negara tersebut tidak setaraf dan rakyatnya berpotensi untuk jadi pendatang haram.

Maka, sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah, aku mengharapkan visa tidak akan dikenakan kepada rakyat Malaysia sampai kiamat. Ada rakanku dari India dan Pakistan yang cemburu, bila aku boleh pergi Eropah macamlah aku ni rakyat sana. Mereka perlukan visa untuk setiap negara, tapi aku dengan paspot Malaysia, lepas pergi sana sini. Kecemburuan mereka teramat sangat, sampai ada yang sanggup boikot aku bila aku balik dari Eropah. Aku tak heran dengan kepala dia orang ni. Sebab tu aku tak layan cemburu tak bertempat dia orang.

Pemimpin Malaysia, haruslah berjaya menyakinkan negara lain, yang rakyat Malaysia bukanlah teroris, ataupun minat bekerja secara haram.

Rakyat Malaysia pulak, kalau memang tak suka duduk Malaysia, pergilah menetap kat sana, tapi jangan menyusahkan rakyat Malaysia yang lain. Kalau nak menetap, tolonglah menetap cara yang sah. Kalau jadi PATI kat England, dan menyusahkan aku dari Malaysia ni kena bersoal jawab dengan imigresen UK, jangan salahkan aku lain kali kalau aku keluarkan ayat pedas dalam FB... kerana nila setitik, rosak susu sebelanga....

Aku tahu akan peruntukan untuk British Subject dari Negeri-negeri Selat - tetapi peruntukan ni dah dipinda pun. Dia orang ni (Warga Negeri-negeri Selat ie Pulau Pinang, Melaka & Singapura) yang koyak paspot bila sampai kat UK. Buat puak-puak yang ini, kalau nak sangat jadi omputeh, pergi la, takde sape larang, tapi kalau UK tak terima, jangan mengemis mintak nak balik sini. Dimanakah rasa terima kasih anda sampai sanggup koyak paspot negara ni dulu? Kalau dah jelas menyampah duk Malaysia, teruskan perjalanan anda ke Negara lain, dan tak perlu pulang ke Malaysia...

Setiap kali aku nak ke Jerman dari London, pekerja airport mesti akan tanya, samada aku ada visa ataupun tidak. Setiap kali juga, mereka terkejut bahawa paspot Malaysia ini besar nilainya, sampai tak perlukan pergi negara sedara mara omputeh mereka. Aku bangga sangat bila berlaku 'terkejut diwajah mereka". Tapi ini adalah usaha pemimpin - pemimpin terdahulu. Sekarang ni, ada ura-ura nak kenakan visa. So, kenalah pemimpin sekarang pastikan kelangsungan pemimpin - pemimpin dahulu.

Pernah juga semasa aku di Romania, pegawai imigresen dalam Bucharest sendiri tak percaya, bahawa Malaysia tak perlukan visa untuk masuk ke Negaranya. Aku lihat dari 2 sudut, pertamanya - pada dia, logik ke negara Asia masuk Eropah tak pakai visa? Pada dia, negara Asia ni miskin, so, kalau miskin mesti ada visa masuk 'negara kaya' dia. Keduanya - dia memang tak buat homework.

Macam - macam ragam aku dah temui di airport. Aku pernah 'berperang' semasa di Pennsylvania US, malahan nak balik rumah kat London pun, pernah juga sempat bertikam lidah dengan imigresen kat Stansted Airport. Tapi aku suka airport tu.

So, moga - moga pemimpin Malaysia naikkan nama negara, supaya golongan marhaen seperti aku ni, tak dianggap pengemis bila kesana...

1 comment:

  1. macam2 ragam insan duniani kan? masalah birokrasi,undang2 negara atau insan itu sendiri?

    ReplyDelete